Wednesday, September 15, 2010

Kes Bunuh Datuk Susilawati

BANTING: Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam Datuk K. Patmanaban di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.

Polis kemudian dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai Datuk K. Patmanaban.

Datuk K. Patmanaban berumur 41 tahun itu adalah seorang daripada lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selepas lebih satu jam berada di firma milik suspek, polis dilihat membawa keluar peralatan seperti CPU dan beberapa dokumen sebelum membawa keluar suspek dari pejabat itu kira-kira 12.30 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, firma guaman berkenaan adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek, dan abunya dibuang ke sungai berhampiran.

Firma itu difahamkan menjadi lokasi urus niaga suspek dan mangsa. – Bernama

Kes Pembunuhan Datuk Susilawati

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pembunuh profesional atau kumpulan samseng dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Pembunuh profesional atau kumpulan samseng itu dikatakan bekerjasama dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan sebagai suspek utama termasuk salah seorangnya bergelar Datuk bagi melakukan pembunuhan kejam itu sebelum membakar mayat mereka.

Menurut sumber, siasatan juga mendapati Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.

Selain itu, kata sumber tersebut, setakat ini pihak polis telah mendapat maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperolehi secara tidak sah, selain kes-kes membabitkan penipuan terancang.

Semalam, polis mengesahkan Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin ,44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu dibunuh.

Mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, di Morib.

Selain Datuk itu dan adiknya, polis turut menahan enam individu lain termasuk dua wanita.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, kejayaan polis membongkar kes pembunuhan itu dalam tempoh singkat berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pesanan yang ditinggalkan Sosilawati.

“Polis bernasib baik kerana mangsa sempat meninggalkan pesanan kepada ahli keluarganya memaklumkan lokasi dan individu yang mahu ditemui pada hari dia dilaporkan hilang.

“Maklumat penting ini membolehkan polis menjejaki suspek dua beradik terbabit sebelum berjaya diberkas Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, siasatan polis juga mendapati suspek bergelar Datuk tersebut kerap menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk menawarkan khidmat guaman secara percuma.

Malah, dia juga dikatakan bijak menarik perhatian masyarakat menyebabkan firma guamannya menjadi popular dan ramai pelanggan berminat mendapatkan khidmat termasuk golongan kenamaan.

Difahamkan, peguam terbabit pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya oleh majikan dan kes-kes membabitkan gangguan seksual.

Selain itu, menurut sumber polis, dua beradik berkenaan pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Peguam Malaysia, tiga tahun lalu iaitu mulai 9 Mac 2007 sehingga 30 Mac 2008.

“Kedua-dua mereka bersama seorang lagi proksi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.

“Tindakan ini menyebabkan Datuk berkenaan dan adiknya tidak layak untuk menjalankan amalan guaman dan menawarkan khidmat guaman kepada orang ramai,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, adik Datuk itu pula pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah yang dimiliki seorang wanita bernilai RM200,000 pada akhir tahun lalu.

Beliau berkata, kes tersebut menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah pada awal Ogos lalu.

“Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

“Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September ini,” katanya.

Motosikal Raya


Kejadian aneh sebegini dilihat jarang berlaku. Namun diKuala terengganu inilah yang berlaku. Harap pembaca semua jangan tiru aksi sebegini..