Wednesday, September 15, 2010

Kes Bunuh Datuk Susilawati

BANTING: Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam Datuk K. Patmanaban di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.

Polis kemudian dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai Datuk K. Patmanaban.

Datuk K. Patmanaban berumur 41 tahun itu adalah seorang daripada lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selepas lebih satu jam berada di firma milik suspek, polis dilihat membawa keluar peralatan seperti CPU dan beberapa dokumen sebelum membawa keluar suspek dari pejabat itu kira-kira 12.30 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, firma guaman berkenaan adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek, dan abunya dibuang ke sungai berhampiran.

Firma itu difahamkan menjadi lokasi urus niaga suspek dan mangsa. – Bernama

No comments:

Post a Comment